mcmc
Maklumat Am

Maklumat Am

Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Felda Sungai Mas, Kota Tinggi, Johor yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Jalur lebar Komuniti (PJK) merupakan sebuah pusat internet yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama TM Bhd dan MSD Digital Intelligence. Penubuhan ini bertujuan untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan komuniti setempat. Selain itu, untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar selaras dengan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan serta untuk memberi kemudahan capaian jalur lebar kepada komuniti tempatan. Sebanyak 12 NADI untuk Fasa 1 dan 73 pusat untuk Fasa 2 telah diwujudkan di seluruh Malaysia bagi mendekatkan masyarakat kepada penggunaan komputer dan aplikasi ilmu ICT dalam kehidupan seharian mereka.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhasrat menjadikan NADI Felda Sungai Mas sebagai rangkaian utama kepada setiap lapisan komuniti melalui rangkaian internet sedia ada seperti kerajaan elektronik, rangkaian sekolah-sekolah (SchoolNet), klinik, perpustakaan dan sebagainya ke arah mewujudkan suatu Rangkaian Komuniti Berpengetahuan (Knowledge Community Centre). Hal ini bagi untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan mmengenai teknologi komputer dan internet. Kemudahan yang disediakan di NADI dapat meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat melalui kemudahan dan aktiviti yang dijalankan di NADI. Hasrat ini sejajar dengan wawasan negara untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bermaklumat menjelang tahun 2020.

Kemudahan yang disediakan membuka ruang kepada komuniti luar bandar untuk mempelajari segala bentuk ilmu yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan penggunaan komputer. Objektif penubuhan NADI ini ialah untuk menyediakan perkhidmatan infrastruktur komunikasi dan kemudahan capaian internet bagi merapatkan jurang digital antara komuniti luar bandar dan komuniti bandar. NADI juga dilengkapi kemudahan dan kelengkapan 20 buah komputer, mesin pencetak (printer), mesin pengimbas (scanner), fotostat dan kemudahan internet dengan kadar bayaran yang berpatutuan.